Khamis, 28 Mei 2009

Ethos

1. Pada mulanya pejabat Ethos Consulting terletak di Sri Hartamas.

2. Jika hendak pergi ke sana, jalan yang paling mudah adalah melalui Bukit Kiara.

3. Bukit Kiara dulunya adalah kawasan yang agak terpencil.

4. Petanda (Landmark) yang ada pun hanyalah Institut Tadbiran Awam (INTAN).

5. INTAN adalah tempat latihan penjawat-penjawat awam.

6. Kepada penjawat-penjawat awam banyak nostalgia di sana.

7. Tenaga pengajarnya juga hebat-hebat belaka (di zaman saya).

8. Antaranya adalah Datuk Seri Mustapha Mohamed yang berkhidmat di sana sebelum dipanggil berkhidmat untuk Tun Daim.

9. Di INTAN juga Tun Dr Mahathir melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia. Mungkin di sekitar 1982 atau 1983.

10. Berbalik kepada Bukit Kiara.

11. Seperti yang saya katakan tadi dulunya ia adalah ladang getah sahaja.

12. Pembangunannya agak ketara di sekitar tahun 80an dan 90an apabila pelbagai projek mula berjalan.

13. Pada pandangan saya, yang menaikkan imej Bukit Kiara adalah projek di sekitar Mont Kiara.

14. Dahulunya ia adalah estet milik Segambut Rubber Estate.

15. Yang membangunkan Mont Kiara adalah Datuk Alan Tong.

16. Beliau juga dikenali sebagai 'Condo King' Malaysia.

17. Cerita bermula apabila sekitar penghujung 80an seorang broker tanah membawa cadangan ntuk menjual beberapa plot tanah kepadanya pada harga murah sekitar RM6-8 sekaki persegi.

18. Pada mulanya beliau tidak berminat, tetapi broker tanah itu tetap mendesaknya.

19. Akhirnya beliau dapat melihat POTENSI KEUNTUNGAN yang ada apabila kerajaan mula membina jalan yang menyambungkan INTAN dan Seri Hartamas.

20. Beliau mula membeli tanah di sana dan berjaya memiliki hampir 100 ekar tanah di sana.

21. Beliau memulakan projeknya yang pertama (Kondominium Pines) pada awal tahun 90an dan menjualnya pada harga RM200 sekaki persegi.

22. Kini kondominium yang sama bernilai RM350-400 kaki persegi.

23. Berbalik kepada perihal Ethos.

24. Seperti yang saya katakan tadi pejabat lama Ethos terletak di Sri Hartamas sebelum mereka berpindah ke lokasi sekarang.

25. Ethos membuka pintu di penhujung era Dr Mahathir.

26. Pada masa itu Pak Lah baru bercadang untuk 'memanaskan enjin' pemerintahannya (yang tidak panas-panas sehinggalah beliau digulingkan) dan terdapat permintaan untuk pelbagai-pelbagai input untuk dikemukakan kepadanya.

27. Di zaman itu juga satu lagi perunding perniagaan - Bina Fikir mula beroperasi.

28. Kini Bina Fikir tiada lagi. Khabarnya ia sudah dibeli oleh Maybank pada harga RM8 juta.

29. Seperti Datuk Alan Tong, pengasas-pengasas Ethos dan Bina Fikir bijak-bijak belaka.

30. Mereka dapat melihat POTENSI KEUNTUNGAN yang ada apabila Dr Mahathir turun dan naiknya Pak Lah.

31. Tetapi setakat itulah persamaan mereka.

32. Datuk Alan Tong tidak bergantung kepada kerajaan.

33. Perkara yang sama tidak boleh dikatakan kepada Ethos.

34. Seperti kontraktor-kontraktor kelas F, perniagaan mereka banyak bergantung kepada projek-projek kerajaan.

35. Tetapi kontraktor kelas F tidak memiliki ijazah berjela-jela dari universiti ternama.

36. Jadi tidak hairan jika mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan.

37. Tetapi rasional yang sama tidak boleh diapplikasikan kepada Ethos.

38. Dengan ijazah yang berjela-jela dari universiti yang dikatakan terbaik di dunia mereka masih perlu bergantung kepada projek-projek kerajaan.

39. Ada yang mengatakan pelbagai projek kerajaan diberikan kepada Ethos. Antaranya:

a) Projek Transformasi GLC yang diketuai Khazanah
b) Projek konsultansi untuk koridor-koridor negara
c) Projek konsultansi Halal Hub
d) Projek konsultansi pengstrukturan semula Dasar Ekonomi Baru
e) Projek konsultansi Dasar Otomotif Negara

40. Hakikatnya kita tidak tahu berapa banyak projek kerajaan yang diberikan kepada Ethos.

41. Mungkin sekarang sudah tiba masanya rakyat diberitahu senarai projek serta jumlah yang telah dibayar kepada Ethos.

42. Wang yang dibayar oleh kerajaan kepada Ethos adalah milik rakyat.

43. Rakyat berhak menilai samada mereka mendapat pulangan yang setimpal dari wang yang dibelanjakan.

44. Kita tidak mahu terjadi keadaan serupa di mana biasiswa yang diberikan kepada pemilik Ethos akhirnya lebur begitu sahaja kerana beliau tidak menghabiskan kontraknya dengan Petronas.

45. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

46. Renong-renongkan dan selamat beramal.

Belajarlah dari Sejarah

1. Dato’ Seri Najib pernah mengatakan bahawa kenangan paling indah bersama bapanya adalah ketika mereka bercuti di pergunungan Alps.

2. Najib pada ketika itu sedang menuntut di Malvern Boys College.

3. Di saat beliau berhadapan pelbagai kecaman dari pelbagai pihak berhubung keputusannya melantik Omar Ong sebagai Pengarah Petronas dan Dato’ Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Petronas, mungkin beliau patut mengimbau kembali KENAPA dan MENGAPA Al-Marhum Ayahandanya tidak melantik ahli-ahli politik dan individu-individu yang rapat dengan Perdana Menteri menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

4. Beliau juga patut mencari sebab KENAPA dan MENGAPA Al-Marhum Tun Hussein Onn (Bapa Saudaranya), Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi mengambil langkah yang sama dengan Al-Marhum Tun Razak.

5. Di sinilah peri pentingnya SEJARAH.Manusia perlu belajar dengan SEJARAH.

6. Bukan dalam soal mentadbir negara sahaja, malah dalam mencari pasangan hidup.

7. Sebab itu, apabila Putera Charles sedang mencari jodoh, Putera Philip (ayahandanya) pernah berpesan “find a woman with a history but not with a past”.

8. Sebenarnya banyak yang boleh kita belajar dari SEJARAH.Sebagai contoh, apabila tentera Nazi menyerang bandaraya Leningrad di Perang Dunia ke-2, Josef Stalin mengarahkan rakyatnya supaya membakar ladang-ladang gandum.

9. Stalin belajar dari SEJARAH.Satu ratus tahun sebelum Stalin, Raja Russia - Tsar, telah mengarahkan ladang-ladang gandum dibakar apabila soldadu-soldadu Napoleon menyerang Russia.

10. Habis kesemua tentera Napoleon kebulurun.

11. Dan Tsar terselamat.

12. Sebenarnya Tsar tidak sebijak mana.

13. Beliau juga belajar dari SEJARAH.

14. Dua ratus tahun sebelum Nabi Isa, Hannibal dan Gaul telah merancang untuk menyerang Rom.

15. Raja Rom pada waktu itu adalah Fabius.

16. Sebelum tentera Hannibal dan Gaus sampai ke Switzerland, Fabius mengarahkan tenteranya membakar ladang gandum di sana.

17. Maka Hannibal dan Gaus berundur dan selamatlah Rom.

18. Jika tidak kerana SEJARAH, Rom pasti ditawan, Tsar digulingkan dan Stalin dipenjarakan.

19. SEJARAH juga telah membuktikan bahawa Perdana-Perdana Menteri terdahulu tidak pernah melantik ahli-ahli politik dan rakan-rakan rapat mereka ke Petronas.

20. Abdullah Ahmad dari Kok Lanas adalah orang yang paling dipercayai oleh Tun Razak.

21. Beliau juga adalah individu yang paling berkuasa di era-70an dahulu.Begitu besar pengaruh beliau sehinggakan bekas Perdana Menteri Al-Marhum Tunku Abdul Rahman hampir tewas ditangannya di dalam perebutan saham majoriti di dalam The Star di awal tahun 70an dahulu.

22. Walau pun Abdullah Ahmad amat dipercayai oleh Tun Razak beliau tidak pula melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

23. Mungkin Al-Marhum Tun Razak berpandangan masa depan syarikat terkaya di negara terlalu penting untuk diletakkan di tangan ahli-ahli politik dan mereka-mereka yang rapat dengannya.

24. Tetapi, Al-Marhum Tun Razak tidak pula berasa tidak senang apabila melantik rakan karibya Tan Sri Taib Andak sebagai Pengerusi Felda.

25. Taib Andak adalah rakan rapatnya semasa meraka belajar di London.

26. Di era Tun Razak terdapat ramai pegawai-pegawai muda di pejabatnya.Antaranya, Zain Azrai (Allahyarham), Annuar Jusoh, Shafie Yahya, Shahrir Samad, Tengku Shahriman, Abdullah Majid dan beberapa nama lagi.

27. Tetapi Tun Razak tidak pula melantik mereka ke Petronas walau pun mereka berkelayakkan dan mempunyai potensi yang besar sekali. (Zain Azrai adalah bekas Duta ke PBB dan juga bekas KSU Perbendaharaan, Shafie Yahya bekas Ketua Pengarah BPR, Shahrir Samad bekas Menteri lulusan IMD, Tengku Shahriman bekas CEO Pernas)

28. Tun Hussein Onn juga mengikut langkah Tun Razak.

29. Beliau tidak meletakkan ahli-ahli politik serta rakan-rakan rapatnya di Petronas.

30. Ini walaupun terdapat individu-individu yang begitu berpengaruh di zamannya seperti Khalil Akasah, Junus Sudin, Desa Pachi dan Kamarul Ariffin.

31. Begitu juga dengan Tun Dr Mahathir.

32. Beliau mengikut langkah yang serupa dengan Tun Razak.Beliau tidak meletakkan rakan-rakan rapatnya seperti Daim Zainuddin dan Al-Marhum Tunku Abdullah (Charlie) di Petronas walau pun Tunku Abdullah pernah mengambilnya semula masuk ke dalam UMNO melalui UMNO bahagian Rawang pimpinanya.

33. Jika tidak kerana Tunku Abdullah, tidak mungkin Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

34. Di zaman Dr Mahathir, beliau juga pernah didesak oleh Timbalannya untuk meletakkan wakil Pemuda di dalam Lembaga Pengarah Petronas.

35. Tetapi Tun tidak tunduk kepada desakan.Dan takdir menentukan maka selamatlah Tun dan Timbalannya hilang jawatan.

36. Begitu juga dengan Tun Abdullah Badawi.

37. Selemah-lemah beliau, beliau juga tidak meletakkan kawan-kawannya seperti Kalimullah Hassan dan Annuar Zaini di Petronas.

38. Jika adapun ‘departure’ dari zaman Dr Mahathir, adalah kerana beliau meletakkan pegawai-pegawai khasnya di ‘ULC’ – UMNO Linked Company seperti MRCB dan Utusan.

39. Maka pengajaran dari SEJARAH adalah kesemua Perdana Menteri sebelum ini tidak pernah mengambil keputusan untuk meletakkan ahli-ahli politik dan rakan-rakan rapat mereka di Petronas.

40. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa Petronas adalah MILIK SEMUA dan MASA DEPAN negara adalah terlalu penting untuk digadaikan hanya kerana ingin memuaskan nafsu besar individu-individu tertentu yang bercita-cita tinggi.

41. Biarlah Petronas terus ditadbir oleh golongan professional yang tiada cita-cita dan agenda peribadi.

42. Itulah KENAPA Al-Marhum Tun Razak dan Perdana-Perdana Menteri selepasnya tidak meletakkan ahli-ahli politik dan rakan-rakan rapat mereka di Petronas.

43. Mereka sedar tiada guna kita menang sorak hari ini tetapi esok hari kampung tergadai.

44. Belajarlah dari SEJARAH.

45. Renong-renongkan dan selamat beramal.

Kriteria, Rekod, Niat dan Matlamat

1. Saya musykil dengan ura-ura keputusan YAB Perdana Menteri untuk melantik bekas pegawai khasnya ke jawatan kanan di Petronas.

2. Saya juga tertanya-tanya samada pegawai muda ini mempunyai kelayakkan dan pengalaman yang sesuai untuk dilantik ke jawatan kanan ini.

3. Saya rasa eloklah jika kita memandang ke belakang berhubung KRITERIA-KRITERIA yang diguna pakai untuk melantik individu-individu tertentu ke jawatan-jawatan penting di Petronas.

4. Jika kita tidak memandang ke belakang tidak mustahil kita akan sesat dan seterusnya hilang pedoman dan akhirnya tidak akan sampai ke destinasi yang dituju.

5. Lebih teruk tindakan kita akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang dan akhirnya akan memakan diri sendiri di PRU 13 kelak.

6. Pada ketika itu, nasi sudah mejadi bubur dan menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah apa-apa.

7. Kita sudah lihat bagaimana kemarahan rakyat terhadap tangan-tangan ghaib di Tingkat 4 menyebabkan seorang Perdana Menteri hilang kuasa.

8. Seperti yang diketahui ramai, apabila Al-Marhum Tun Razak bercadang untuk menubuhkan Petronas, beliau telah memberi kepercayaan ini kepada YM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah.

9. Tengku Razaleigh pada ketika itu merupakan Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputera dan juga Pengerusi Eksekutif PERNAS.

10. Walau pun masih muda, di usia pertengahan 30-an, Tengku Razaleigh pada ketika itu TELAHPUN mempunyai REKOD yang CEMERLANG berhubung sumbangannya kepada NEGARA.

11. Pada ketika itu, beliau telah pun dikenali sebagai Bapa Ekonomi Negara, di atas jasa usahanya menubuhkan beberapa institusi-institusi nasional yang banyak memberi manfaat khususnya kepada kaum Melayu.

12. Beliau juga orang yang paling dipercayai oleh Tun Razak.

13. Pelbagai tugas-tugas penting yang kritikal kepada Negara diberikan kepada Tengku Razaleigh.

14. Antaranya memulakan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China (secara tidak rasmi melalui PERNAS pada mulanya) serta membawa kembali New Straits Times ke pangkuan UMNO di Kuala Lumpur. (NST pada ketika itu dikuasai kapitalis-kapitalis British yang berpengkalan di Singapura dan sering menjalankan kempen anti UMNO).

15. Popularnya Tengku Razaleigh pada ketika itu sehinggakan beliau dilihat sebagai pengganti Tun Razak andainya Tun Razak bersara kelak.

16. Tetapi manusia merancang Allah menentukan.

17. Sudah ditakdirkan Tengku Razaleigh tidak menjadi Perdana Menteri.

18. Tetapi, beliau dapat duduk sebagai Pengerusi Eksekutif pertama Petronas yang bertaraf Menteri. (tetapi tidak duduk di dalam Kabinet)

19. Jasa Tengku Razaleigh di dalam sektor minyak negara begitu besar sekali.

20. Tengku Razaleighlah yang bertanggungjawab memulangkan balik kekuasaan negara di dalam sektor petroleum yang pada masa itu dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat melalui Shell dan Esso.

21. YAB Perdana Menteri kita sekarang pada ketika itu berkhidmat sebagai pembantu Tengku Razaleigh di Petronas.

22. Sudah tentu YAB Perdana Menteri masih ingat begitu gentingnya keadaan ketika itu sehinggakan beliau terpaksa membuat panggilan telefon kepada Tengku Razalegh yang sedang nyenyak tidur di New York berhubung kempen media syarikat-syarikat gergasi barat ini untuk mensabotaj lawatan kerja Tengku Razaleigh ke Amerika Syarikat.

23. PENGAJARAN yang saya cuba lontarkan adalah, SEBELUM Tengku Razaleigh DILANTIK sebagai Pengerusi Eksekutif Petronas beliau SUDAH PUN mempunyai REKOD yang CEMERLANG kepada NEGARA.

24. Dan apabila dilantik beliau meneruskan rekod kecermerlangannya.

25. Apabila Tengku Razaleigh berhenti berkhidmat di Petronas, kerana dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Al-Marhum Tun Hussein Onn, jawatan-jawatan kanan di Petronas diisi oleh mereka-mereka yang SUDAH PUN terbukti SUMBANGANNYA kepada NEGARA.

26. Antaranya, Tan Sri Abdul Kadir Shamsudin dan Tun Abdullah Salleh yang merupakan Ketua Setiausaha Negara.

27. Dan juga Raja Tun Mohar Badiozaman yang merupakan Penasihat Ekonomi kepada Tun Razak, Tun Hussein serta Tun Dr Mahathir.

28. Tidak lupa juga, Dato' Rastam Hadi yang merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara dan juga Tan Sri Basir Ismail yang merupakan pelopor SEDC Johor serta Tan Sri Azizan Zainul Abidin yang merupakan Ketua Setiausaha Sulit kepada Tun Razak, Tun Hussein serta Tun Dr Mahathir dan merupakan bekas Ketua Setiausaha MITI.

29. Malah Tan Sri Hassan Marican Presiden Petronas sekarang sebelum menyertai Petronas sebagai Naib Presiden Kewangan merupakan Rakan Kongsi (Partner) di dalam firma perakaunan Hanafiah, Raslan dan Mohamad yang merupakan firma perakaunan yang tersohor di ibu kota ketika itu (Firma itu kemudiannya dikenali sebagai Arthur Andersen)

30. Beliau pada ketika itu banyak terlibat dengan 'tugas-tugas nasional' sebagai juruodit untuk skandal BMF dan Deposit Taking Companies (yang hampir meranapkan MCA).

31. Jadi PENGAJARAN yang boleh kita ambil adalah, SEBELUM mereka-mereka ini DILANTIK sebagai orang nombor 1 Petronas, mereka SUDAH PUN mempunyai REKOD yang CEMERLANG kepada NEGARA. Dan apabila dilantik mereka MENERUSKAN rekod kecermerlangan mereka.

32. Persoalan yang ingin saya lontarkan berhubung perlantikan bekas pegawai khas YAB Perdana Menteri ini, adakah beliau MEMPUNYAI REKOD PERKHIDMATAN CEMERLANG KEPADA NEGARA yang SETARAF dengan mereka-mereka ini?

33. Tepuk dada tanya Iman kerana kalau ikut Nafsu yang Besar Tenaga Kurang dan Lesu akhirnya.

34. Kita juga tidak mahu keadaan di mana kail yang hanya panjang sejangkal sudah tentu tidak akan mampu menduga laut yang dalam.

35. Esok-esok nanti susah kerana kolek akan karam akibat sentiasa dilanda badai.

36. Kita juga bimbang apa yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran.

37. Renonglah nasihat ini yang pernah dilontarkan oleh Tan Sri Sanusi Junid di Persidangan Agung UMNO lama dahulu:

Niat baik
Cara tak reti
Pahala dapat
Kerja tak jadi

Niat jahat
Cara pandai
Dosa dapat
Bangsa tergadai

Niat jahat
Cara tak reti
Dosa dapat
Kerja tak jadi

Niat tepat
Cara pandai
Pahala dapat
Kerja selesai

38. Renong-renongkan dan selamat beramal.