Khamis, 28 Mei 2009

Belajarlah dari Sejarah

1. Dato’ Seri Najib pernah mengatakan bahawa kenangan paling indah bersama bapanya adalah ketika mereka bercuti di pergunungan Alps.

2. Najib pada ketika itu sedang menuntut di Malvern Boys College.

3. Di saat beliau berhadapan pelbagai kecaman dari pelbagai pihak berhubung keputusannya melantik Omar Ong sebagai Pengarah Petronas dan Dato’ Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Petronas, mungkin beliau patut mengimbau kembali KENAPA dan MENGAPA Al-Marhum Ayahandanya tidak melantik ahli-ahli politik dan individu-individu yang rapat dengan Perdana Menteri menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

4. Beliau juga patut mencari sebab KENAPA dan MENGAPA Al-Marhum Tun Hussein Onn (Bapa Saudaranya), Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi mengambil langkah yang sama dengan Al-Marhum Tun Razak.

5. Di sinilah peri pentingnya SEJARAH.Manusia perlu belajar dengan SEJARAH.

6. Bukan dalam soal mentadbir negara sahaja, malah dalam mencari pasangan hidup.

7. Sebab itu, apabila Putera Charles sedang mencari jodoh, Putera Philip (ayahandanya) pernah berpesan “find a woman with a history but not with a past”.

8. Sebenarnya banyak yang boleh kita belajar dari SEJARAH.Sebagai contoh, apabila tentera Nazi menyerang bandaraya Leningrad di Perang Dunia ke-2, Josef Stalin mengarahkan rakyatnya supaya membakar ladang-ladang gandum.

9. Stalin belajar dari SEJARAH.Satu ratus tahun sebelum Stalin, Raja Russia - Tsar, telah mengarahkan ladang-ladang gandum dibakar apabila soldadu-soldadu Napoleon menyerang Russia.

10. Habis kesemua tentera Napoleon kebulurun.

11. Dan Tsar terselamat.

12. Sebenarnya Tsar tidak sebijak mana.

13. Beliau juga belajar dari SEJARAH.

14. Dua ratus tahun sebelum Nabi Isa, Hannibal dan Gaul telah merancang untuk menyerang Rom.

15. Raja Rom pada waktu itu adalah Fabius.

16. Sebelum tentera Hannibal dan Gaus sampai ke Switzerland, Fabius mengarahkan tenteranya membakar ladang gandum di sana.

17. Maka Hannibal dan Gaus berundur dan selamatlah Rom.

18. Jika tidak kerana SEJARAH, Rom pasti ditawan, Tsar digulingkan dan Stalin dipenjarakan.

19. SEJARAH juga telah membuktikan bahawa Perdana-Perdana Menteri terdahulu tidak pernah melantik ahli-ahli politik dan rakan-rakan rapat mereka ke Petronas.

20. Abdullah Ahmad dari Kok Lanas adalah orang yang paling dipercayai oleh Tun Razak.

21. Beliau juga adalah individu yang paling berkuasa di era-70an dahulu.Begitu besar pengaruh beliau sehinggakan bekas Perdana Menteri Al-Marhum Tunku Abdul Rahman hampir tewas ditangannya di dalam perebutan saham majoriti di dalam The Star di awal tahun 70an dahulu.

22. Walau pun Abdullah Ahmad amat dipercayai oleh Tun Razak beliau tidak pula melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

23. Mungkin Al-Marhum Tun Razak berpandangan masa depan syarikat terkaya di negara terlalu penting untuk diletakkan di tangan ahli-ahli politik dan mereka-mereka yang rapat dengannya.

24. Tetapi, Al-Marhum Tun Razak tidak pula berasa tidak senang apabila melantik rakan karibya Tan Sri Taib Andak sebagai Pengerusi Felda.

25. Taib Andak adalah rakan rapatnya semasa meraka belajar di London.

26. Di era Tun Razak terdapat ramai pegawai-pegawai muda di pejabatnya.Antaranya, Zain Azrai (Allahyarham), Annuar Jusoh, Shafie Yahya, Shahrir Samad, Tengku Shahriman, Abdullah Majid dan beberapa nama lagi.

27. Tetapi Tun Razak tidak pula melantik mereka ke Petronas walau pun mereka berkelayakkan dan mempunyai potensi yang besar sekali. (Zain Azrai adalah bekas Duta ke PBB dan juga bekas KSU Perbendaharaan, Shafie Yahya bekas Ketua Pengarah BPR, Shahrir Samad bekas Menteri lulusan IMD, Tengku Shahriman bekas CEO Pernas)

28. Tun Hussein Onn juga mengikut langkah Tun Razak.

29. Beliau tidak meletakkan ahli-ahli politik serta rakan-rakan rapatnya di Petronas.

30. Ini walaupun terdapat individu-individu yang begitu berpengaruh di zamannya seperti Khalil Akasah, Junus Sudin, Desa Pachi dan Kamarul Ariffin.

31. Begitu juga dengan Tun Dr Mahathir.

32. Beliau mengikut langkah yang serupa dengan Tun Razak.Beliau tidak meletakkan rakan-rakan rapatnya seperti Daim Zainuddin dan Al-Marhum Tunku Abdullah (Charlie) di Petronas walau pun Tunku Abdullah pernah mengambilnya semula masuk ke dalam UMNO melalui UMNO bahagian Rawang pimpinanya.

33. Jika tidak kerana Tunku Abdullah, tidak mungkin Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

34. Di zaman Dr Mahathir, beliau juga pernah didesak oleh Timbalannya untuk meletakkan wakil Pemuda di dalam Lembaga Pengarah Petronas.

35. Tetapi Tun tidak tunduk kepada desakan.Dan takdir menentukan maka selamatlah Tun dan Timbalannya hilang jawatan.

36. Begitu juga dengan Tun Abdullah Badawi.

37. Selemah-lemah beliau, beliau juga tidak meletakkan kawan-kawannya seperti Kalimullah Hassan dan Annuar Zaini di Petronas.

38. Jika adapun ‘departure’ dari zaman Dr Mahathir, adalah kerana beliau meletakkan pegawai-pegawai khasnya di ‘ULC’ – UMNO Linked Company seperti MRCB dan Utusan.

39. Maka pengajaran dari SEJARAH adalah kesemua Perdana Menteri sebelum ini tidak pernah mengambil keputusan untuk meletakkan ahli-ahli politik dan rakan-rakan rapat mereka di Petronas.

40. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa Petronas adalah MILIK SEMUA dan MASA DEPAN negara adalah terlalu penting untuk digadaikan hanya kerana ingin memuaskan nafsu besar individu-individu tertentu yang bercita-cita tinggi.

41. Biarlah Petronas terus ditadbir oleh golongan professional yang tiada cita-cita dan agenda peribadi.

42. Itulah KENAPA Al-Marhum Tun Razak dan Perdana-Perdana Menteri selepasnya tidak meletakkan ahli-ahli politik dan rakan-rakan rapat mereka di Petronas.

43. Mereka sedar tiada guna kita menang sorak hari ini tetapi esok hari kampung tergadai.

44. Belajarlah dari SEJARAH.

45. Renong-renongkan dan selamat beramal.