Khamis, 28 Mei 2009

Kriteria, Rekod, Niat dan Matlamat

1. Saya musykil dengan ura-ura keputusan YAB Perdana Menteri untuk melantik bekas pegawai khasnya ke jawatan kanan di Petronas.

2. Saya juga tertanya-tanya samada pegawai muda ini mempunyai kelayakkan dan pengalaman yang sesuai untuk dilantik ke jawatan kanan ini.

3. Saya rasa eloklah jika kita memandang ke belakang berhubung KRITERIA-KRITERIA yang diguna pakai untuk melantik individu-individu tertentu ke jawatan-jawatan penting di Petronas.

4. Jika kita tidak memandang ke belakang tidak mustahil kita akan sesat dan seterusnya hilang pedoman dan akhirnya tidak akan sampai ke destinasi yang dituju.

5. Lebih teruk tindakan kita akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang dan akhirnya akan memakan diri sendiri di PRU 13 kelak.

6. Pada ketika itu, nasi sudah mejadi bubur dan menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah apa-apa.

7. Kita sudah lihat bagaimana kemarahan rakyat terhadap tangan-tangan ghaib di Tingkat 4 menyebabkan seorang Perdana Menteri hilang kuasa.

8. Seperti yang diketahui ramai, apabila Al-Marhum Tun Razak bercadang untuk menubuhkan Petronas, beliau telah memberi kepercayaan ini kepada YM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah.

9. Tengku Razaleigh pada ketika itu merupakan Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputera dan juga Pengerusi Eksekutif PERNAS.

10. Walau pun masih muda, di usia pertengahan 30-an, Tengku Razaleigh pada ketika itu TELAHPUN mempunyai REKOD yang CEMERLANG berhubung sumbangannya kepada NEGARA.

11. Pada ketika itu, beliau telah pun dikenali sebagai Bapa Ekonomi Negara, di atas jasa usahanya menubuhkan beberapa institusi-institusi nasional yang banyak memberi manfaat khususnya kepada kaum Melayu.

12. Beliau juga orang yang paling dipercayai oleh Tun Razak.

13. Pelbagai tugas-tugas penting yang kritikal kepada Negara diberikan kepada Tengku Razaleigh.

14. Antaranya memulakan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China (secara tidak rasmi melalui PERNAS pada mulanya) serta membawa kembali New Straits Times ke pangkuan UMNO di Kuala Lumpur. (NST pada ketika itu dikuasai kapitalis-kapitalis British yang berpengkalan di Singapura dan sering menjalankan kempen anti UMNO).

15. Popularnya Tengku Razaleigh pada ketika itu sehinggakan beliau dilihat sebagai pengganti Tun Razak andainya Tun Razak bersara kelak.

16. Tetapi manusia merancang Allah menentukan.

17. Sudah ditakdirkan Tengku Razaleigh tidak menjadi Perdana Menteri.

18. Tetapi, beliau dapat duduk sebagai Pengerusi Eksekutif pertama Petronas yang bertaraf Menteri. (tetapi tidak duduk di dalam Kabinet)

19. Jasa Tengku Razaleigh di dalam sektor minyak negara begitu besar sekali.

20. Tengku Razaleighlah yang bertanggungjawab memulangkan balik kekuasaan negara di dalam sektor petroleum yang pada masa itu dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat melalui Shell dan Esso.

21. YAB Perdana Menteri kita sekarang pada ketika itu berkhidmat sebagai pembantu Tengku Razaleigh di Petronas.

22. Sudah tentu YAB Perdana Menteri masih ingat begitu gentingnya keadaan ketika itu sehinggakan beliau terpaksa membuat panggilan telefon kepada Tengku Razalegh yang sedang nyenyak tidur di New York berhubung kempen media syarikat-syarikat gergasi barat ini untuk mensabotaj lawatan kerja Tengku Razaleigh ke Amerika Syarikat.

23. PENGAJARAN yang saya cuba lontarkan adalah, SEBELUM Tengku Razaleigh DILANTIK sebagai Pengerusi Eksekutif Petronas beliau SUDAH PUN mempunyai REKOD yang CEMERLANG kepada NEGARA.

24. Dan apabila dilantik beliau meneruskan rekod kecermerlangannya.

25. Apabila Tengku Razaleigh berhenti berkhidmat di Petronas, kerana dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Al-Marhum Tun Hussein Onn, jawatan-jawatan kanan di Petronas diisi oleh mereka-mereka yang SUDAH PUN terbukti SUMBANGANNYA kepada NEGARA.

26. Antaranya, Tan Sri Abdul Kadir Shamsudin dan Tun Abdullah Salleh yang merupakan Ketua Setiausaha Negara.

27. Dan juga Raja Tun Mohar Badiozaman yang merupakan Penasihat Ekonomi kepada Tun Razak, Tun Hussein serta Tun Dr Mahathir.

28. Tidak lupa juga, Dato' Rastam Hadi yang merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara dan juga Tan Sri Basir Ismail yang merupakan pelopor SEDC Johor serta Tan Sri Azizan Zainul Abidin yang merupakan Ketua Setiausaha Sulit kepada Tun Razak, Tun Hussein serta Tun Dr Mahathir dan merupakan bekas Ketua Setiausaha MITI.

29. Malah Tan Sri Hassan Marican Presiden Petronas sekarang sebelum menyertai Petronas sebagai Naib Presiden Kewangan merupakan Rakan Kongsi (Partner) di dalam firma perakaunan Hanafiah, Raslan dan Mohamad yang merupakan firma perakaunan yang tersohor di ibu kota ketika itu (Firma itu kemudiannya dikenali sebagai Arthur Andersen)

30. Beliau pada ketika itu banyak terlibat dengan 'tugas-tugas nasional' sebagai juruodit untuk skandal BMF dan Deposit Taking Companies (yang hampir meranapkan MCA).

31. Jadi PENGAJARAN yang boleh kita ambil adalah, SEBELUM mereka-mereka ini DILANTIK sebagai orang nombor 1 Petronas, mereka SUDAH PUN mempunyai REKOD yang CEMERLANG kepada NEGARA. Dan apabila dilantik mereka MENERUSKAN rekod kecermerlangan mereka.

32. Persoalan yang ingin saya lontarkan berhubung perlantikan bekas pegawai khas YAB Perdana Menteri ini, adakah beliau MEMPUNYAI REKOD PERKHIDMATAN CEMERLANG KEPADA NEGARA yang SETARAF dengan mereka-mereka ini?

33. Tepuk dada tanya Iman kerana kalau ikut Nafsu yang Besar Tenaga Kurang dan Lesu akhirnya.

34. Kita juga tidak mahu keadaan di mana kail yang hanya panjang sejangkal sudah tentu tidak akan mampu menduga laut yang dalam.

35. Esok-esok nanti susah kerana kolek akan karam akibat sentiasa dilanda badai.

36. Kita juga bimbang apa yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran.

37. Renonglah nasihat ini yang pernah dilontarkan oleh Tan Sri Sanusi Junid di Persidangan Agung UMNO lama dahulu:

Niat baik
Cara tak reti
Pahala dapat
Kerja tak jadi

Niat jahat
Cara pandai
Dosa dapat
Bangsa tergadai

Niat jahat
Cara tak reti
Dosa dapat
Kerja tak jadi

Niat tepat
Cara pandai
Pahala dapat
Kerja selesai

38. Renong-renongkan dan selamat beramal.