Ahad, 21 Jun 2009

Jalan Ampang

1. Sekitar tahun 1950an, dua orang kulit putih warganegara Amerika berketurunan Irish sampai di Kuala Lumpur.

2. Antara tempat yang mereka lawati adalah sekitar Jalan Ampang berhampiran Ruber Research Institute.

3. Ketika dibawa bersiar-siar kawalan yang diberikan kepada mereka adalah sangat ketat.

4. Ini adalah kerana Jalan Ampang ketika itu masih berhutan tebal.

5. Ancaman komunis juga masih ada.

6. Kedua-dua warga Amerika itu adalah John Fitzgerald Kennedy dan adiknya Robert Fitzgerald Kennedy.

7. Saya kurang pasti kenapa dan mengapa mereka melawat Kuala Lumpur.

8. Tetapi yang pasti Jalan Ampang telah banyak berubah dibandingkan 50 tahun dahulu.

9. Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai seorang peminat lumba kuda.

10. Minat ini terbit sejak kecil lagi kerana ayahandanya mempunyai stable-stable kuda dan minat ini berterusan sehinggalah beliau menuntut di England.

11. Katanya beliau lebih banyak menghabiskan masa menonton perlumbaan kuda daripada belajar.

12. Pada tahun 1959, ketika beliau menjadi Perdana Menteri beliau pernah memberitahu Datuk Thuraisingham yang merupakan Presiden Selangor Turf Club bahawa pada pandangan beliau akan tiba masanya keadaan trafik akan menjadi terlalu sibuk untuk peminat-peminat lumba kuda datang menyaksikan perlumbaan kuda di gelanggang lumba kuda yang terletak di Jalan Ampang.

13. Beliau mencadangkan supaya Datuk Thuraisingham menjualkan sahaja tapak lumba kuda itu kepada Kerajaan.

14. Menurutnya Kerajaan akan menggunakan tapak lumba kuda itu untuk membina pejabat-pejabat Kerajaan.

15. Walau bagaimanapun Datuk Thuraisingham menolak dengan baik cadangan Tunku.

16. Ternyata telahan Tunku menjadi kenyataan.

17. Sekitar dekad 1990an didapati tapak lumba kuda itu tidak lagi sesuai untuk beroperasi di tempat asalnya.

18. Maka ditapak itulah dibangunkan Menara Berkembar Petronas sekarang.