Khamis, 25 Jun 2009

MIC

1. Sejak ditubuhkan pada tahun 1946, MIC telah mempunyai empat orang Presiden.

2. Mereka adalah K.L. Devasar, Tun Sambanthan, Tan Sri Manickavasagam dan Dato' Seri Samy Vellu.

3. Sebagai perbandingan, parti-parti lain yang ditubuhkan pada waktu yang sama mempunyai jumlah ketua yang lebih ramai.

4. UMNO misalnya mempunyai 7 orang Presiden bermula dengan Dato' Onn Jaafar dan kini disandang oleh Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

5. MCA pula telah mempunyai 9 orang Presiden dari dahulu hingga sekarang.

6. Dahulu, sudah menjadi tradisi MIC apabila seseorang Presiden telah memegang jawatan selama lima atau enam tahun, timbalannya akan memberi tekanannya kepadanya untuk berundur.

7. Perkara ini telah berlaku semasa Tun Sambanthan menjadi Presiden dan Tan Sri Manickavasagam menjadi timbalannnya.

8. Perkara ini selesai setelah Tan Sri Manickavasagam mendapat nasihat daripada Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

9. Mereka meminta Tan Sri Manickavasagam bersabar memandangkan Tun Sambanthan dilihat sebagai seorang pejuang kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman.

10. Tetapi akhirnya Tun Sammbanthan membuat keputusan untuk mengundurkan diri walau pun beliau masih popular.

11. Beliau tidak mahu melihat perpecahan di dalam MIC.

12. Pada ketika itu Samy Vellu adalah penyokong kuat Tun Sambanthan.

13. Setelah beberapa ketika Tan Sri Manickavasagam menjadi Presiden MIC beliau dicabar pula oleh Samy Vellu.

14. Nasib Samy Vellu baik kerana Tan Sri Manickavasagam meninggal dunia.

15. Maka Samy Vellu pun mendapat 'kemenangan' percuma.

16. Samy Vellu mempunyai latar belakang politik yang begitu colorful.

17. Beliau pernah kalah dalam rebutan memimpin MIC Selangor sebanyak lebih 10 kali.

18. Pada awal tahun 70an dahulu, beliau pernah menjadi pembaca berita.

19. Pada ketika itu RTM banyak mengambil pembaca berita sambilan dan Samy Vellu adalah salah seorang dari mereka.

20. Beliau merupakan salah seorang pembaca berita yang popular.

21. Sehinggakan terdapat satu ketika pihak-pihak tertentu di dalam MIC yang tidak senang dengan popularitinya meminta RTM memberhentikannya.

22. Tan Sri Ghazali Shafie yang pada masa itu menjadi Menteri Penerangan enggan tunduk kepada tekanan dan terus membenarkan Samy Vellu meneruskan tugasnya sebagai pembaca berita Tamil di RTM.

23. Sejarah MIC selepas Samy Vellu menjadi Presiden diwarnai dengan pergolakan demi pergolakan.

24. Habis seorang demi seorang timbalannya 'dijatuhkan' oleh Samy Vellu.

25. Mungkin masyarakat Melayu dan Cina tidak begitu faham dengan politik MIC.

26. Dalam masyarakat keturunan yang berasal dari benua kecil India terdapat pelbagai kaum.

27. Kepada kita semuanya nampak sama kerana mereka agak serupa sahaja.

28. Sebenarnya ada perlbagai etnik serta kasta di dalam MIC.

29. Bangsa, bahasa, agama dan kasta memainkan peranan penting di dalam politik MIC.

30. Pucuk pimpinan MIC lazimnya terdiri dari golongan Tamil beragama Hindu.

31. Mereka yang berada luar dari kelompok ini mustahil menjadi Presiden.

32. Allahyarham Tan Sri Ubaidullah yang beragama Islam tidak dapat menjadi Presiden.

33. Seorang Tamil yang beragama Kristian tidak mungkin dapat menjadi Presiden.

34. Begitu juga yang berbangsa Sikh dan Malayalee.

35. Paling tinggi mungkin Naib Presiden dan jika bernasib baik Timbalan Presiden.

36. Tamil Jaffna pula boleh dikatakan amat sedikit yang menjadi ahli MIC.

37. Itulah cerita politik MIC.

38. Renong-renongkan.