Khamis, 9 Julai 2009

Lei

1. Sesiapa yang pernah bekerja di bawah YM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah @ Lei pasti bersetuju jika dikatakan beliau adalah seorang yang kuat bekerja dan baik dengan kakitangan bawahannya.

2. Adalah menjadi kebiasaan beliau untuk bekerja lewat seringkali hingga melewati pukul 10 malam.

3. Jika beliau terbang ke luar negara, selalunya ke mesyuarat Bank Dunia atau IMF beliau akan bekerja hampir sepanjang tempoh penerbangan menyemak kertas kerja, laporan atau deraf ucapan yang disediakan pegawainya.

4. Dibandingkan dengan lawannya Tun Dr Mahathir yang mudah sahaja melelapkan mata sebaik sahaja pesawat berlepas.

5. Lei hanya akan melelapkan mata selepas mendarat di destinasi yang dituju.
6. Beliau juga seorang ketua yang pandai mengambil hati kakitangannya.

7. Sudah menjadi kebiasaannya untuk meraikkan mereka yang pada pandangannya menunjukkan prestasi yang baik dengan membawa mereka makan di restoran-restoran mewah dan kelab-kelab malam yang terkemuka.

8. Sikap ini juga berlawanan dengan penggantinya iaitu Tun Daim Zainuddin yang agak berkira di dalam wang ringgit.

9. Lei merupakan Menteri Kewangan kedua yang datang dari UMNO.

10. Sebelum beliau Tun Hussein Onn pernah memegang jawatan yang sama.

11. Sudah diketahui ramai Lei merupakan seorang Menteri Kewangan yang amat berkuasa.

12. Hinggakan peruntukkan Jabatan Perdana Menteri berada di bawah kawalannya.

13. Ini menyebabkan rakyat melihat beliau sebagai seorang yang berkuasa kerana segala permintaan dapat beliau tunaikan 'on the spot' sahaja.

14. Apabila Lei tewas kepada Musa Hitam di dalam merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1984 beliau ditukarkan ke MITI.

15. Sebenarnya beliau tidak mahu dilantik ke jawatan tersebut.

16. Seterunya Musa Hitam juga tidak mahu Lei duduk di dalam kabinet lagi.

17. Malah Musa Hitam telah mencadangkan kepada Dr Mahathir agar melantik Abdullah Badawi sebagai Menteri Kewangan.

18. Entah apa muslihat Dr Mahathir beliau tetap dengan keputusannya.

19. Dan apabila dipujuk Lei kembali ke dalam kabinet.

20. Sebenarnya apabila Lei pindah ke MITI, petaka menanti pegawai-pegawai PTD terutamanya yang berasal dari Kelantan dan rapat dengan kem Kuli.

21. Kebanyakkan dari mereka dipeti sejukkan dan jika tidak silap tiada KSN selepas itu yang datang dari Kelantan.

22. Hakikatnya apabila Daim mengambil alih Perbendaharaan dari mata kasar segalanya kelihatan baik belaka.

23. Ekonomi negara dijangka berkembang, eksport komoditi naik, ringgit kukuh dan pelaburan asing mencurah masuk.

24. Walau bagaimanapun segalanya adalah fatamorgana semata-mata.

25. Beberapa bulan selepas Lei keluar dari Kementerian Kewangan, satu demi satu bank mula mengalami masalah hutang tak berbayar.

26. Antaranya Perwira Habib Bank, First Malaysian Bank, KL Finance, KUBB, Pekembarjaya dan Supreme Finance. Tidak ketinggalan Syarikat Pengambil Deposit (Deposit Taking Companies) yang berkaitan dengan MCA dan tidak ketinggalan Co-operative Central Bank.

27. Ada pihak yang mengatakan masalah ini berlaku kerana pinjaman banyak diberikan usahawan-usahawan segera terutamanya ahli-ahli Dewan Perniagaan yang rapat dengan tokoh-tokoh politik tertentu.

28. Hinggakan di zaman Lei, jawatan Pengerusi Bank Bumiputera menjadi hak dan diperuntukkan kepada Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan orang lain tidak boleh menjawat jawatan ini.

29. Pengaruh mereka pada masa itu amat kuat.

30. Sikap usahawan-usahawan segera ini adalah pinjaman adalah hak dan ia tidak semestinya dibayar.

31. Maka tidak hairanlah apabila Bank Bumiputera yang pada masa itu yang merupakan antara bank yang terbesar di dunia dan termasuk di dalam senarai Fortune 500 ranap dan terpaksa diselamat oleh Petronas sebanyak dua kali.

32. Jika Petronas tidak menyelamatkan Bank Bumiputera yang tenggelam bukan sahaja Bank Bumiputera tetapi juga Permodalan Nasional Berhad yang menjadi pemegang saham terbesarnya.

33. Maka yang rugi bukannya usahawan-usahawan segera ini tetapi adalah jutaan orang Melayu yang menjadi penabong Amanah Saham Nasional.

34. Hakikatnya Bank Bumiputera serta institusi-institusi kewangan yang lain tidak akan hancur jika mereka yang bertanggungjawab ke atas institusi ini mengambil langkah awal dengan memerangi sikap mengambil mudah tentang hutang.

35. Jelas sekali tiada pengajaran yang diambil dari Kertas Putih mengenai masalah Bank Rakyat pada tahun 1979.

36. Maka tidak hairanlah jika tulisan Lei di dalam blognya mempertahankan tindakan individu tertentu yang engkar untuk membayar biasiswa Petronas.

38. Sikap mengambil mudah untuk mengutip hutang inilah yang meranapkan institusi kewangan negara dulu dan membawa negara ke era kemelesatan ekonomi pertengahan dekad 80an.

39. Walau bagaimanapun Lei bercakap benar apabila mengatakan bahawa di zamannya biasiswa tidak perlu dibayar sesen pun.

40. Ini adalah kerana di zamannya 35 tahun dahulu bukan sahaja biasiswa Petronas yang tidak perlu dibayar malah biasiswa JPA dan Mara juga begitu.

41. Tetapi itu amalan 35 tahun dahulu.

42. Sudah lama dasar itu dimansuhkan.


43. Sekarang JPA, Mara, Petronas sudah tidak memberi biasiswa secara percuma.

44. Bermula di pertengahan tahun 80an kerajaan telah membuat keputusan supaya pemegang biasiswa berkhidmat untuk tempoh tertentu dengan pemberi biasiswa dan jika tidak mereka harus membayar jumlah yang dibelanjakan ke atas mereka.

45. Apa yang jelas Lei masih terperangkap dengan nostalgia era kegemilangannya dan seolah-olah terlupa bahawa zamanya sudah berlalu dan dunia sudah banyak berubah.

46. Hakikatnya yang berhutang wajib membayar hutang dan pemberi hutang ada hak untuk menuntut hutang.

47. Renong-renongkan dan selamat beramal.