Isnin, 1 Jun 2009

Syed Hamid

1. Setiap orang mempunyai hobi.

2. Tidak kira samada rakyat biasa atau pak menteri.

3. Hobi Datuk Seri Syed Hamid Albar sebelum menjadi menteri ialah berpindah rumah.

4. Pelbagai tempat sudah beliau huni.

5. Antaranya Ampang, Bukit Pantai dan Petaling Jaya.

6. Itu lama dulu. Semasa beliau duduk di bahagian Bukit Bintang.

7. Kini saya tidak pasti beliau duduk di mana.

8. Beliau saya kira bernasib baik.

9. Jika tidak kerana Tun Dr Mahathir tidak pernah berdendam dengan ayahnya sudah tentu bintang Syed Hamid tidak secerah mana.

10. Apabila Al-Marhum Tengku Abdul Rahman memanggil mesyuarat selepas 13 Mei 1969 berhubung surat Dr Mahathir kepadanya, Tan Sri Syed Jaafar Albar adalah antara mereka yang menyokong tindakan untuk menyingkirkan Dr Mahathir.

11. Apabila Al-Marhum Tun Razak mahu Dr Mahathir kembali ke pangkuan UMNO, Tan Sri Syed Jaafar Albar yang kuat menentang cadangan ini.

12. Dengan sinis beliau mengatakan bahawa beliau bersedia untuk mengosongkan kerusi Majlis Tertinggi untuk memberi laluan kepada Dr Mahathir.

14. Syed Jaafar Albar tidak keluar dari Majlis Tertinggi.

15. Dan Dr Mahathir pun masuk ke dalam Majlis Tertinggi.

16. Seperti saya katakan tadi Dr Mahathir tidak pernah berdendam dengan Syed Jaafar Albar.

17. Di dalam sessi soal jawabnya dengan pelajar Malaysia di Malaysia Hall (yang lama terletak di Bryanston Square bukannya di Bayswater sekarang) Dr Mahathir mempertahankan Syed Jaafar Albar apabila pelajar mempersoalkan kenapa Syed Jaafar Albar memegang terlalu banyak jawatan sebagai pengarah di dalam syarikat - syarikat swasta.

18. Semasa itu Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

19. Itu dulu.

20. Dr Mahathir menunjukkan sifat tidak berdendamnya apabila meletakkan Syed Hamid Albar sebagai calon pilihanraya tahun 1990.

21. Syed Hamid sepatutnya dicalonkan pada tahun 1986.

22. Tetapi namanya tidak naik.

23. Kecewalah dia.

24. Hanya Syed Hamid yang tahu samada sebab ini mendorong dia menyokong Tengku Razaleigh pada tahun 1987.

25. Tetapi seperti yang saya katakan tadi Dr Mahathir tidak menyimpan dendam walau pun orang ini pernah menentangnya.

26. Maka menanglah Syed Hamid pada tahun 1990 dan dilantiklah Syed Hamid sebagai Menteri di JPM menjaga urusan undang-undang.

27. Selepas itu bintang Syed Hamid begitu cerah sehinggalah dilantik pelbagai jawatan sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan akhirnya Menteri Dalam Negeri.

28. Sehingga ada yang mengatakan kalau diberi pilihan, Pak Lah lebih suka melantik Syed Hamid sebagai TPM memandangkan mereka melalui ‘rel’ yang sama di dalam politik.

29. Benar juga.

30. Sebab apabila Pak Lah jatuh tersungkurlah Syed Hamid.

31. Ramai orang sudah melupakan Syed Hamid sehinggalah nama beliau diwar-warkan sebagai pengganti Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin di PETRONAS.

32. Apabila ditanya pemberita Dato’ Seri Najib tidak pula mengiakannya.
33. Beliau juga tidak menidakkannya.

34. Tetapi bagaimanakah ada asap tidak berapi?

35. Kita tidak tahu atas dasar apa Syed Hamid dilantik sebagai Pengerusi Petronas.

36. Rekod perkhidmatannya sebagai Menteri Luar tidak secemerlang mana.

37. Di bawah pengawasannya banyak isu-isu timbul. Antaranya:

a) Hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura

b) Terbatalnya pembinaan jambatan bengkok di zaman Pak Lah walau pun di zaman Dr Mahathir Syed Hamid beria-ia benar mempertahannnya.

c) Tidak selesainya isu tuntutan bertindih di Ambalat yang kaya dengan sumber hidrokarbon

d) Tidak selesainya tuntutan bertindih di Blok L dan M dengan Brunei

e) Tidak sudahnya isu-isu berbangkit dengan Singapura berhubung air, CPF dan sebagainya.

38. Kita tidak tahu apa istimewanya Syed Hamid di mata Dato' Seri Najib.

39. Bagaimanakah seorang yang ditolak oleh ahli-ahli parti boleh dilantik sebagai Pengerusi syarikat bertaraf dunia?

40. Jika ahli-ahli partinya sendiri serta bahagiannya sendiri tidak mempunyai kepercayaan terhadap kebolehannya bolehkah kita berharap Presiden-Presiden, Perdana Menteri serta Menteri-menteri di negara-negara tempat Petronas beroperasi percaya kepadanya?

41. Jalan terbaik bagi Dato' Seri Najib ialah usahlah membaiki rumah yang masih elok dan kukuh.

42. Kita takut esok nanti tindakan kita umpama tikus membaiki labu.

43. Apa gunanya tiada beban batu dialas.

44. Bimbang esok-esok nanti tindakan kita memakan diri kita sendiri.

45. Biarlah ahli politik pencen diambang senja ini meniti hari-harinya bermain dengan cucu.

46. Kita takut beliau tidak cukup tenaga untuk memikul amanah yang berat ini.

47. Renong-renongkan dan selamat beramal.