Jumaat, 21 Ogos 2009

Gaji SPRM


1. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

2. Pada tahun 70an dahulu, BPR dikenali sebagai BSN (Biro Siasatan Negara).

3. BSN cukup digeruni dan dihormati semua pihak.

4. Malah, Independent Commision Against Corruption (ICAC) Hong Kong, badan pencegah rasuah yang cukup dihormati kini, pernah belajar dari BSN.

5. Kini terbalik pula.

6. BPR pula belajar dari ICAC dan dari pembelajaran ini ditubuhkan SPRM.

7. Masa SPRM mula-mula ditubuhkan, seorang pegawai SPRM menulis surat kepada akhbar Berita Harian pada 1 Januari 2009 mengeluh bahawa penjenamaan semula BPR kepada SPRM tidak membawa apa-apa faedah kerana gajinya hanya naik RM60.

8. Beliau juga mengeluh gaji sekecil itu tidak cukup kerana perlu dibelanjakan untuk membawa saksi makan serta membayar bil telefon.

9. Saya tidak tahu bagaimana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh mengambil orang-orang sebegini sebagai pegawai kerajaan.

10. Pada zaman saya dahulu, gaji adalah perkara kedua.

11. Yang utama perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

12. Dapat bekerja untuk kerajaan pun sudah cukup baik.

13. Kini zaman sudah berubah.

14. Malah mereka yang ditugaskan untuk membenteras rasuah seolah-olah meletakkan ganjaran material melebihi sumbangan yang diberikan kepada negara.

15. Ambillah iktibar dari kata-kata Datuk Rastam Hadi, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara serta bekas Pengarah Urusan Petronas;

"A civil servant never negotiates with his employer about salary or perks he gets. Money is important, of course, but most civil servants never worry whether the remuneration they get is anywhere near the value of the service they provide."

16. Renong-renongkan dan selamat beramal.