Jumaat, 21 Ogos 2009

Jet Peribadi



1. Nampaknya berlaku pertelingkahan besar antara Datuk Seri Ong Tee Kiat (Menteri Pengangkutan) serta Datuk Seri Tiong King Sing (Pengerusi Backbenchers Club Barisan Nasiona) berhubung penggunaan jet peribadi milik Tiong oleh Ong.

2. Tiong menuduh Ong menggunakan jet peribadi tersebut dengan percuma.

3. Ong pula mengatakan bahawa beliau masih menunggu bil dari Tiong.

4. Walau apa pun akan terjadi antara mereka berdua, sebenarnya penggunaan jet peribadi di kalangan golongan ternama di Malaysia bukanlah perkara baru.

5. Di zaman 70an dahulu, Tun Mustapha ketika itu menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah mempunyai jet peribadinya sendiri.

6. Beliau sering terbang ke London dan Australia dengan jet tersebut.

7. Ada yang mengatakan beliau sanggup terbang ke London semata-mata hendak memotong kuku.

8. Hakikatnya beliau seorang yang pemurah kerana sanggup meminjamkan jet tersebut kepada Al-Marhum Tunku Abdul Rahman ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung OIC berpejabat di Jeddah.

9. Pada ketika itu mereka begitu akrab sehinggakan apabila Tunku berseloroh mengatakan beliau teringin makan stik dari London, Tun Mustapha sanggup terbang ke London dan singgah di Jeddah untuk makan stik tersebut bersama-sama Tunku.

10. Pada era kegemilangan ekonomi pertengahan tahun 90an, terdapat beberapa tokoh korporat Melayu memiliki jet peribadi.

11. Antaranya Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Amin Shah.

12. Malah Tajuddin Ramli mempunyai dua jet Gulfstream IV.

13. Tajuddin pernah singgah di lapangan terbang antarabangsa Ankara, Turki semata -mata untuk bertemu Tun Mahathir apabila beliau diberitahu bahawa pesawat MAS yang membawa Tun Mahathir singgah di situ dalam perjalanan ke New York.

14. Rakan-rakan di Renong pernah memberitahu jet peribadi milik Halim Saad pernah terbang ke Bangkok semata-mata untuk membawa eksekutif kanan Renong makan tomyam di sana.

15. Begitulah hebatnya tokoh-tokoh korporat Melayu di zaman dahulu.

16. Itu dulu.

17. Sekarang yang saya tahu antara tokoh-tokoh korporat Melayu yang mempunyai jet peribadi adalah Tan Sri Syed Azman (Raja AP) serta Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

18. Syed Azman mempunyai dua jet peribadi - sebuah pesawat Boeing Business Jet dan Gulstream manakala Syed Mokhtar memiliki sebuah pesawat Bombardier Global Express.

19. Antara bilionaire yang mempunyai jet peribadi termasuklah Ananda Krishna, Tan Sri Vincent Tan, Dato' Seri Lee Oi Hian (KL Kepong), Tan Sri Lee Kim Yew (Country Heights) dan Tan Sri Ting Pek Khiing.

20. Ada beberapa bilionaire lain tetapi saya tidak pasti dan jika anda ingin mengetahui silalah hubungi DCA.

21. Walau apa pun, secara peribadi saya tidak bersetuju dengan keputusan Tun Abdullah Badawi untuk membeli Boeing Business Jet kerana Kerajaan Malaysia sudahpun memiliki 3 atau 4 jet peribadi.

22. Lagi pun, pembelian itu dilakukan ketika beliau membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak seolah-olah penjimatan subsidi Kerajaan digunakan pula untuk membeli jet tersebut.

23. Sebagai pemimpin kita sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

24. Apabila kita meminta rakyat untuk berjimat kita sebagai pemimpin haruslah menunjukkan bahawa kitalah orang yang pertama yang berjimat cermat.

25. Inilah sindrom yang dihidapi oleh pemimpin-pemimpin Melayu apabila sudah terlalu lama duduk di dalam Kabinet.

26. Apabila semuanya ditanggung dari bil elektrik sehinggalah ikan yang dimakan mereka hilang pedoman tentang kesukaran yang dialami oleh rakyat.

27. Saya percaya Tun Abdullah sudah lebih 30 tahun tidak membeli ikan di pasar dan di atas sebab itu beliau tidak mempunyai pengetahuan bahawa keputusan untuk menaikkan harga minyak sebanyak 70 sen boleh menyebabkan harga ikan naik sehingga lebih sekali ganda.

28. Renong-renongkan dan selamat beramal.