Khamis, 25 Jun 2009

MIC

1. Sejak ditubuhkan pada tahun 1946, MIC telah mempunyai empat orang Presiden.

2. Mereka adalah K.L. Devasar, Tun Sambanthan, Tan Sri Manickavasagam dan Dato' Seri Samy Vellu.

3. Sebagai perbandingan, parti-parti lain yang ditubuhkan pada waktu yang sama mempunyai jumlah ketua yang lebih ramai.

4. UMNO misalnya mempunyai 7 orang Presiden bermula dengan Dato' Onn Jaafar dan kini disandang oleh Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

5. MCA pula telah mempunyai 9 orang Presiden dari dahulu hingga sekarang.

6. Dahulu, sudah menjadi tradisi MIC apabila seseorang Presiden telah memegang jawatan selama lima atau enam tahun, timbalannya akan memberi tekanannya kepadanya untuk berundur.

7. Perkara ini telah berlaku semasa Tun Sambanthan menjadi Presiden dan Tan Sri Manickavasagam menjadi timbalannnya.

8. Perkara ini selesai setelah Tan Sri Manickavasagam mendapat nasihat daripada Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

9. Mereka meminta Tan Sri Manickavasagam bersabar memandangkan Tun Sambanthan dilihat sebagai seorang pejuang kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman.

10. Tetapi akhirnya Tun Sammbanthan membuat keputusan untuk mengundurkan diri walau pun beliau masih popular.

11. Beliau tidak mahu melihat perpecahan di dalam MIC.

12. Pada ketika itu Samy Vellu adalah penyokong kuat Tun Sambanthan.

13. Setelah beberapa ketika Tan Sri Manickavasagam menjadi Presiden MIC beliau dicabar pula oleh Samy Vellu.

14. Nasib Samy Vellu baik kerana Tan Sri Manickavasagam meninggal dunia.

15. Maka Samy Vellu pun mendapat 'kemenangan' percuma.

16. Samy Vellu mempunyai latar belakang politik yang begitu colorful.

17. Beliau pernah kalah dalam rebutan memimpin MIC Selangor sebanyak lebih 10 kali.

18. Pada awal tahun 70an dahulu, beliau pernah menjadi pembaca berita.

19. Pada ketika itu RTM banyak mengambil pembaca berita sambilan dan Samy Vellu adalah salah seorang dari mereka.

20. Beliau merupakan salah seorang pembaca berita yang popular.

21. Sehinggakan terdapat satu ketika pihak-pihak tertentu di dalam MIC yang tidak senang dengan popularitinya meminta RTM memberhentikannya.

22. Tan Sri Ghazali Shafie yang pada masa itu menjadi Menteri Penerangan enggan tunduk kepada tekanan dan terus membenarkan Samy Vellu meneruskan tugasnya sebagai pembaca berita Tamil di RTM.

23. Sejarah MIC selepas Samy Vellu menjadi Presiden diwarnai dengan pergolakan demi pergolakan.

24. Habis seorang demi seorang timbalannya 'dijatuhkan' oleh Samy Vellu.

25. Mungkin masyarakat Melayu dan Cina tidak begitu faham dengan politik MIC.

26. Dalam masyarakat keturunan yang berasal dari benua kecil India terdapat pelbagai kaum.

27. Kepada kita semuanya nampak sama kerana mereka agak serupa sahaja.

28. Sebenarnya ada perlbagai etnik serta kasta di dalam MIC.

29. Bangsa, bahasa, agama dan kasta memainkan peranan penting di dalam politik MIC.

30. Pucuk pimpinan MIC lazimnya terdiri dari golongan Tamil beragama Hindu.

31. Mereka yang berada luar dari kelompok ini mustahil menjadi Presiden.

32. Allahyarham Tan Sri Ubaidullah yang beragama Islam tidak dapat menjadi Presiden.

33. Seorang Tamil yang beragama Kristian tidak mungkin dapat menjadi Presiden.

34. Begitu juga yang berbangsa Sikh dan Malayalee.

35. Paling tinggi mungkin Naib Presiden dan jika bernasib baik Timbalan Presiden.

36. Tamil Jaffna pula boleh dikatakan amat sedikit yang menjadi ahli MIC.

37. Itulah cerita politik MIC.

38. Renong-renongkan.

Ahad, 21 Jun 2009

Jalan Ampang

1. Sekitar tahun 1950an, dua orang kulit putih warganegara Amerika berketurunan Irish sampai di Kuala Lumpur.

2. Antara tempat yang mereka lawati adalah sekitar Jalan Ampang berhampiran Ruber Research Institute.

3. Ketika dibawa bersiar-siar kawalan yang diberikan kepada mereka adalah sangat ketat.

4. Ini adalah kerana Jalan Ampang ketika itu masih berhutan tebal.

5. Ancaman komunis juga masih ada.

6. Kedua-dua warga Amerika itu adalah John Fitzgerald Kennedy dan adiknya Robert Fitzgerald Kennedy.

7. Saya kurang pasti kenapa dan mengapa mereka melawat Kuala Lumpur.

8. Tetapi yang pasti Jalan Ampang telah banyak berubah dibandingkan 50 tahun dahulu.

9. Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai seorang peminat lumba kuda.

10. Minat ini terbit sejak kecil lagi kerana ayahandanya mempunyai stable-stable kuda dan minat ini berterusan sehinggalah beliau menuntut di England.

11. Katanya beliau lebih banyak menghabiskan masa menonton perlumbaan kuda daripada belajar.

12. Pada tahun 1959, ketika beliau menjadi Perdana Menteri beliau pernah memberitahu Datuk Thuraisingham yang merupakan Presiden Selangor Turf Club bahawa pada pandangan beliau akan tiba masanya keadaan trafik akan menjadi terlalu sibuk untuk peminat-peminat lumba kuda datang menyaksikan perlumbaan kuda di gelanggang lumba kuda yang terletak di Jalan Ampang.

13. Beliau mencadangkan supaya Datuk Thuraisingham menjualkan sahaja tapak lumba kuda itu kepada Kerajaan.

14. Menurutnya Kerajaan akan menggunakan tapak lumba kuda itu untuk membina pejabat-pejabat Kerajaan.

15. Walau bagaimanapun Datuk Thuraisingham menolak dengan baik cadangan Tunku.

16. Ternyata telahan Tunku menjadi kenyataan.

17. Sekitar dekad 1990an didapati tapak lumba kuda itu tidak lagi sesuai untuk beroperasi di tempat asalnya.

18. Maka ditapak itulah dibangunkan Menara Berkembar Petronas sekarang.

Khamis, 18 Jun 2009

Jamaluddin Jarjis

1. Sudah diketahui ramai Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis adalah orang kanan Dato’ Seri Naib Tun Razak.

2. Khabarnya persahabatan mereka sudah lama terjalin dari 1980an lagi.

3. Semasa itu Najib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

4. JJ pada masa yang sama duduk sebagai Exco Pemuda dan Ketua Pemuda UMNO Pekan.

5. Juga bersama-sama Najib di dalam Pemuda ketika itu adalah Dato’ Seri Nazri Aziz.

6. Nazri Aziz lebih senior daripada Najib dan JJ kerana duduk sebagai Exco Pemuda sejak tahun 1978 lagi.

7. Dato’ Suhaimi Kamaruddin Ketua Pemuda sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang meletak Nazri sebagai Exco termuda di dalam sejarah.

8. Tetapi jawatan paling tinggi Nazri Aziz di dalam Pemuda adalah sebagai Naib Ketua.

9. Nazri berharap dapat jadi calon pilihanraya tahun 1990.

10. Tetapi namanya tidak naik.

11. Kecewalah dia.

12. Sebagai ganti Dr Mahathir melantiknya sebagai Pengerusi Mara pada tahun 1993 menggantikan Tamrin Ghafar anak Tun Ghafar Baba.

13. Sebagai Pengerusi Mara Nazri Aziz tidak mahu diberikan kereta peribadi.

14. Beliau naik Pajero sahaja.

15. Itu cerita Nazri Aziz.

16. Ini kisah JJ pula.

17. Dibandingkan dengan Nazri, JJ lebih dahulu naik ke Parlimen.

18. Beliau menang di Rompin pada tahun 1990.

19. Walau pun beliau Ketua Pemuda di Pekan beliau terpaksa dipayung terjunkan ke Rompin kerana Najib sudah ada di Pekan.

20. JJ pun mempunyai pelbagai kisah yang menarik juga.

21. Tetapi cukuplah jika saya kongsi satu atau dua cerita sahaja.

22. JJ memang dikenali ramai sebagai seorang yang pemurah.

23. Mengikut cerita lama dulu sebelum beliau jadi Menteri seorang wartawan pergi menemuramahnya.

24. Habis temuramah JJ menghulurkan sedikit duit kopi.

25. Wartawan itu menolak.

26. Merah muka JJ.

27. Menurut cerita lagi juga sebelum beliau jadi Menteri beliau mengetuai satu rombongan ke luar negera.

28. Rombongan yang beliau ketuai bertujuan untuk menjual bon.

29. Beliau juga membawa wartawan bersama.

30. Sebagai seorang yang pemurah beliau memberi duit poket kepada wartawan yang mengikutnya.

31. Begitu pemurahnya JJ.

32. Sebelum jadi Menteri beliau adalah seorang pensyarah di UTM.

33. Tetapi tidak lama.

34. Pada tahun 1986, beliau membuka syarikatnya sendiri.

35. EPE Power Corporation Sdn Bhd namanya.

36. Syarikat ini terlibat di dalam bidang elektrik dan merupakan kontraktor kepada TNB.

37. Banyak juga projek yang mereka dapat dari TNB.

38. Sehingga pada satu masa syarikat Rolls Rocye pun mahu menjalinkan kerjasama dengan mereka.

39. Rolls Rocye mengeluarkan turbin untuk menjana eletrik.

40. EPE Power kemudiannya disenaraikan di papan kedua KLSE.

41. Tetapi kemudiaanya prestasinya jatuh merudum sehinggalah disenaraikan sebagai syarikat PN4.

42. EPE Power kemudiannya dibeli oleh Ranhill.

43. Sebelum jadi Menteri beliau duduk sebagai Pengerusi TNB.

44. Sebagai seorang yang bijak (beliau pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang kejuruteraan) banyak benda yang lura biasa dibuatnya.

45. Antaranya membeli kuda-kuda.

46. Kita tidak tahu apa kaitan kuda dengan bisness TNB.

47. Tetapi yang kita tahu JJ sering kali menunggang kuda setiap hujung minggu bersama-sama Dr Mahathir ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri.

48. Mungkin kerana berkongsi hobi yang sama, Dr Mahathir melantiknya sebagai Menteri Kewangan Kedua ketika Dr Mahathir menjadi Menteri Kewangan Pertama.

49. Selain kuda, JJ juga bertanggungjawab menukar kebergantungan TNB kepada gas asli di dalam menjana elektrik.

50. Pada ketika itu 70% penjanaan tenaga elektrik menggunakan gas asli.

51. Di bawahnya, TNB mula menggunakan arang batu untuk menjana elektrik.

52. TNB bukan sahaja membeli arang batu dari Australia dan Indonesia, tetapi membeli lombong arang batu di Kalimantan pada tahun 2001.

53. Lombong arang batu itu dibeli dari Dynamic Acres Sdn Bhd pada harga US$85 juta

54. Perlakuan ini umpama membeli lembu untuk mendapatkan susunya.

55. Pada tahun 2006, TNB menjual lombong itu pada harga US$19 juta.

56. Rugilah TNB sebanyak US$66 juta

57. Dibawah JJ juga, TNB juga disaman oleh bank UBS Warburg pada thaun 2002 kerana melanggar kontrak berhubung urusniaga bon.

58. Walau bagaimanapun pada tahun 2003, TNB berjaya menyelesaikan kes ini diluar mahkamah.

59. TNB bagai manapun tidak menyatakan jumlah wang yang dibayar kepada UBS Warburg.

60. Nama JJ turut dikaitkan di dalam skandal Jack Abramoff.

61. Jack Abramoff adalah pelobi parti Republikan yang terlibat di dalam skandal “cash for access”.

62. Beliau kini merengkok di dalam penjara di Maryland kerana didapati menipu orang Indian.

63. Sebuah pertubuhan Malaysia US Exchange Association yang diketuai oleh Arwah Tan Sri Megat Junid serta JJ dikatakan telah membayar US$1.2 juta untuk mengatur pertemuan Dr Mahathir dengan Presiden George W Bush pada tahun 2002.

64. Pada tahun 2006 Dr Mahathir mengaku bahawa wang telah dibayar kepada Abramoff untuk mengatur pertemuan dengn Bush.

65. Beliau bagai manapun tidak tahu siapa yang membayarnya.

66. Selepas dua tahun di TNB JJ menjadi Menteri Kewangan Kedua.

67. Banyak perkara baik yang dilakukannya.

68. Tetapi yang paling menarik ialah apabila beliau mencadangkan kepada Dr Mahathir supaya menubuhkan konsortium minyak kedua negara selepas Petronas.

69. Dr Mahathir membentangkan cadangan tersebut di dalam belanjawan tahun 2003.

70. Maka banyaknya syarikat-syarikat yang tiada pengalaman di dalam urusniaga minyak melobi untuk menjadi anggota konsortium ini.

71. Saham syarikat-syarikat ini turut naik tinggi.

72. Ramailah orang yang untung.

73. Kini nama JJ muncul kembali.

74. Tetapi bukan kerana kes di sebuah kelab curut tahun lalu.

75. Beliau dikatakan bakal menjadi Duta Malaysia ke Amerika Syarikat.

76. Tetapi menurut sumber-sumber Amerika Syarikat mungkin tidak akan merestuinya.

77. Jadi destinasi seterusnya dikatakan Petronas.

78. Jika benar kita harap ia adalah khabar angin semata-mata.

79. Kalau pokok yang bergoyang kita harap moga-moga bukanlah angin yang mengoyangnya atau pun monyet yang mengoyangnya.

80. Juga kita harap bukanlah JJ yang mengoyangkannya.

81. Kita tidak mahu Petronas senasib TNB, kuda-kuda TNB dan EPE Power.

82. Renong-renongkan dan selamat beramal.

Sabtu, 13 Jun 2009

Komunis

1. Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata janganlah kita melihat Ong Boon Hua @ Chin Peng sebagai seorang komunis.

2. Kata Anwar lihatlah Chin Peng sebagai seorang tua yang ingin menghabiskan sisa hidupnya di negara kelahirannya.

3. Anwar mungkin terlupa.

4. Tetapi komunis tidak pernah lupa.

5. Malaysia telah merdeka selama 54 tahun.

6. Tetapi keamanan yang sebenarnya hanya kita kecapi hanya selama 20 tahun.

7. 34 tahun lagi negara bergelut dengan ancaman komunis.

8. Komunis datang dalam pelbagai bentuk dan cerita.

9. Selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia di London, birasnya Tun Hussein Onn menahan tiga individu yang berprofil tinggi di dalam ISA.

10. Tiga Abdul ini adalah Abdullah Ahmad @ Dollah Kok Lanas, Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail.

11. Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid adalah Timbalan Menteri semasa Tun Razak menjadi PM.

12. Abdul Samad Ismail pula adalah Ketua Pengarang NSTP milik UMNO.


13. Tidak lama selepas ditahan, Tiga Abdul ini mengaku bahawa mereka terikut-ikut dengan komunis.

14. Pengakuan mereka disiarkan oleh RTM.

15. Hanya mereka sendiri sahaja tahu samada pengakuan ini ikhlas atau pun terpaksa.

16. Sepertimana pengakuan Ibrahim Ali yang sanggup mengaku segala tuduhan ke atasnya kerana mahu dibebaskan dari ISA kerana mahu menyambut Hari Raya bersama keluarganya.

17. Barangkali Ibrahim Ali kesepian kerana Anwar Ibrahim dibebaskan dahulu darinya.

18. Semasa Abdullah Ahmad masih duduk di dalam ISA, seorang lagi Abdullah Ahmad muncul.

19. Untuk mengelakkan kekeliruan Abdullah Ahmad ini melabelkan dirinya sebagai Abdullah Ahmad Badawi.

20. Tidak lama selepas menang pilihanraya tahun 1978, Abdullah Ahmad Badawi di lantik sebagai Setiausaha Parlimen dan kemudiannya Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

21. Ramai yang bekerja dengannya dulu mengatakan beliau ketua yang baik.

22. Tetapi kadang-kadang beliau naik angin juga.

23. Menurut cerita semasa suatu hari beliau membaca sepucuk surat.

24. Belum habis dibacanya surat itu beliau memanggil pegawainya masuk dengan kadar segera.

25. Katanya, “Kenapa kamu bagi saya surat orang di dalam penjara?”

26. Surat itu sebenarnya adalah untuk Abdullah Ahmad @ Dollah Kok Lanas.

27. Mungkin juga kerana sebab itu beliau tidak berapa sebulu dengan Abdullah Ahmad.

28. Sebulan selepas menjadi PM, beliau memecat Abdullah Ahmad sebagai Ketua NSTP.

29. Digostankan cerita.

30. Selepas ditahan hampir 6 tahun, Abdullah Ahmad keluar dari ISA.

31. Selepas keluar dari ISA Abdullah Ahmad menuduh “Ghulam” bertanggungjawab keatas penahanannya.

32. Kita tidak tahu siapa “Ghulam”.

33. Mungkin Tun Haniff Omar atau pun Tun Ghazali Shafie.

34. Walau apa pun, kita tidak tahu semada “Ghulam” juga bertanggungjawab menahan Sidek Ghouse dua hari sebelum pertabalan bossnya sebagai Perdana Menteri.

35. Sidek Ghouse adalah Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir yang semasa itu Timbalan Perdana Menteri.

36. Laporan akhbar mengatakan Sidek Ghouse adalah ejen KGB.

37. Tetapi yang hairannya, kegiatan Sidek Ghouse telah dikesan sejak 1977 lagi dan persoalannya kenapakah beliau ditahan 4 tahun kemudian dua hari sebelum Dr Mahathir menjadi PM.

38. Adakah nasib yang menimpa Sidek Ghouse ini “Suratan atau Kebetulan”? (Sekadar meminjam tajuk lagu Kenny, Remy dan Martin)

39. Darurat tamat secara rasmi pada tahun 1960.

40. Chin Peng dipanggil balik ke Peking kerana kegagalan komunis menguasai negara.

41. Gerombolan tenteranya pula berundur ke sempadan Malaysia Thailand.

42. Namun kegiatan militan komunis berterusan.

43. Kurfew masih wujud di banyak tempat di dalam negara.

44. Di dalam tahun 60an, Kerajaan merasakan pentingnya pasukan keselamatan meningkatkan kualiti perisikannya supaya ancaman komunis dapat dihapuskan diakar umbi.

45. Umpamanya bagai manakah komunis boleh beroperasi lama di dalam hutan dengan jumlah makanan yang terhad?

46. Pasukan Cawangan Khas tidak dapat menjawab sepenuhnya persoalan ini.

47. Maka Menteri Dalam Negeri Tun Dr Ismail mengarahkan Dato' Merican Sutan yang merupakan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM menubuhkan pasukan elit polis yang kini dikenali sebagai VAT 69 pada tahun 1969.

48. Dato' Merican Sutan (yang juga dikenali sebagai Uncle Mac) memanggil SAS dari United Kingdom dan New Zealand untuk melatih anggota-anggota VAT 69 ini.

49. Dalam masa yang singkat VAT 69 berupaya menhapuskan ancaman komunis terutama dengan menghapuskan sumber-sumber makanan (food dump) pengganas komunis yang ditanam di dalam tanah di hutan Semenanjung Malaysia.

50. Untuk makluman, Dato' Merican Sutan adalah ayah kepada Tan Sri Hassan Marican Presiden Petronas sekarang.

51. Di dalam tahun 70an, komunis turun dari persembunyian mereka di sempadan Malaysia Thailand dan melakukan hura hara di Raub-Jerantut, Ipoh-Tg Rambutan dan sampai ke Kuala Lumpur.

52. Komunis berjaya membunuh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur pada tahun 1974 semasa beliau dalam perjalanan ke pejabatnya.

53. Kematian Tan Sri Abdul Rahman Hashim membolehkan Tun Haniff Omar naik sebagai Ketua Polis Negara termuda di dalam sejarah negara pada umur 34 tahun.

54. Komunis juga berjaya menembak mati Ketua Polis Perak Tan Sri Khoo Choong Kong di Ipoh pada tahun 1975.

55. Seperti yang saya katakan tadi Komunis tidak pernah lupa.

56. Perjanjian Haadyai pada tahun 1989 hanya menamatkan ancaman berse
njata komunis.

57. Perjanjian itu tidak pula mengatakan bahawa penyebaran ideologi komunis turut tamat sama sekali.

58. Chin Peng sedar tentang hakikat ini.

59. Semasa di dalam kabinet Anwar tidak pernah pun membangkitkan isu untuk membawa Chin Peng pulang.

60. Jadi mengapa sekarang isu ini cuba ditimbulkan Anwar?

61. Sebagai bekas Menteri Anwar sepatutnya sedar bahawa keamanan yang dikecap oleh negara sekarang tidak datang dengan percuma.

62. Ia hadir dengan tumpahan darah beribu-ribu wira yang tidak didendang.

63. Renong-renongkan dan selamat beramal.

Isnin, 1 Jun 2009

Syed Hamid

1. Setiap orang mempunyai hobi.

2. Tidak kira samada rakyat biasa atau pak menteri.

3. Hobi Datuk Seri Syed Hamid Albar sebelum menjadi menteri ialah berpindah rumah.

4. Pelbagai tempat sudah beliau huni.

5. Antaranya Ampang, Bukit Pantai dan Petaling Jaya.

6. Itu lama dulu. Semasa beliau duduk di bahagian Bukit Bintang.

7. Kini saya tidak pasti beliau duduk di mana.

8. Beliau saya kira bernasib baik.

9. Jika tidak kerana Tun Dr Mahathir tidak pernah berdendam dengan ayahnya sudah tentu bintang Syed Hamid tidak secerah mana.

10. Apabila Al-Marhum Tengku Abdul Rahman memanggil mesyuarat selepas 13 Mei 1969 berhubung surat Dr Mahathir kepadanya, Tan Sri Syed Jaafar Albar adalah antara mereka yang menyokong tindakan untuk menyingkirkan Dr Mahathir.

11. Apabila Al-Marhum Tun Razak mahu Dr Mahathir kembali ke pangkuan UMNO, Tan Sri Syed Jaafar Albar yang kuat menentang cadangan ini.

12. Dengan sinis beliau mengatakan bahawa beliau bersedia untuk mengosongkan kerusi Majlis Tertinggi untuk memberi laluan kepada Dr Mahathir.

14. Syed Jaafar Albar tidak keluar dari Majlis Tertinggi.

15. Dan Dr Mahathir pun masuk ke dalam Majlis Tertinggi.

16. Seperti saya katakan tadi Dr Mahathir tidak pernah berdendam dengan Syed Jaafar Albar.

17. Di dalam sessi soal jawabnya dengan pelajar Malaysia di Malaysia Hall (yang lama terletak di Bryanston Square bukannya di Bayswater sekarang) Dr Mahathir mempertahankan Syed Jaafar Albar apabila pelajar mempersoalkan kenapa Syed Jaafar Albar memegang terlalu banyak jawatan sebagai pengarah di dalam syarikat - syarikat swasta.

18. Semasa itu Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

19. Itu dulu.

20. Dr Mahathir menunjukkan sifat tidak berdendamnya apabila meletakkan Syed Hamid Albar sebagai calon pilihanraya tahun 1990.

21. Syed Hamid sepatutnya dicalonkan pada tahun 1986.

22. Tetapi namanya tidak naik.

23. Kecewalah dia.

24. Hanya Syed Hamid yang tahu samada sebab ini mendorong dia menyokong Tengku Razaleigh pada tahun 1987.

25. Tetapi seperti yang saya katakan tadi Dr Mahathir tidak menyimpan dendam walau pun orang ini pernah menentangnya.

26. Maka menanglah Syed Hamid pada tahun 1990 dan dilantiklah Syed Hamid sebagai Menteri di JPM menjaga urusan undang-undang.

27. Selepas itu bintang Syed Hamid begitu cerah sehinggalah dilantik pelbagai jawatan sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan akhirnya Menteri Dalam Negeri.

28. Sehingga ada yang mengatakan kalau diberi pilihan, Pak Lah lebih suka melantik Syed Hamid sebagai TPM memandangkan mereka melalui ‘rel’ yang sama di dalam politik.

29. Benar juga.

30. Sebab apabila Pak Lah jatuh tersungkurlah Syed Hamid.

31. Ramai orang sudah melupakan Syed Hamid sehinggalah nama beliau diwar-warkan sebagai pengganti Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin di PETRONAS.

32. Apabila ditanya pemberita Dato’ Seri Najib tidak pula mengiakannya.
33. Beliau juga tidak menidakkannya.

34. Tetapi bagaimanakah ada asap tidak berapi?

35. Kita tidak tahu atas dasar apa Syed Hamid dilantik sebagai Pengerusi Petronas.

36. Rekod perkhidmatannya sebagai Menteri Luar tidak secemerlang mana.

37. Di bawah pengawasannya banyak isu-isu timbul. Antaranya:

a) Hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura

b) Terbatalnya pembinaan jambatan bengkok di zaman Pak Lah walau pun di zaman Dr Mahathir Syed Hamid beria-ia benar mempertahannnya.

c) Tidak selesainya isu tuntutan bertindih di Ambalat yang kaya dengan sumber hidrokarbon

d) Tidak selesainya tuntutan bertindih di Blok L dan M dengan Brunei

e) Tidak sudahnya isu-isu berbangkit dengan Singapura berhubung air, CPF dan sebagainya.

38. Kita tidak tahu apa istimewanya Syed Hamid di mata Dato' Seri Najib.

39. Bagaimanakah seorang yang ditolak oleh ahli-ahli parti boleh dilantik sebagai Pengerusi syarikat bertaraf dunia?

40. Jika ahli-ahli partinya sendiri serta bahagiannya sendiri tidak mempunyai kepercayaan terhadap kebolehannya bolehkah kita berharap Presiden-Presiden, Perdana Menteri serta Menteri-menteri di negara-negara tempat Petronas beroperasi percaya kepadanya?

41. Jalan terbaik bagi Dato' Seri Najib ialah usahlah membaiki rumah yang masih elok dan kukuh.

42. Kita takut esok nanti tindakan kita umpama tikus membaiki labu.

43. Apa gunanya tiada beban batu dialas.

44. Bimbang esok-esok nanti tindakan kita memakan diri kita sendiri.

45. Biarlah ahli politik pencen diambang senja ini meniti hari-harinya bermain dengan cucu.

46. Kita takut beliau tidak cukup tenaga untuk memikul amanah yang berat ini.

47. Renong-renongkan dan selamat beramal.